Kelebihan
Antara kebaikan alat berfikir ialah
menjimatkan masa. Hal ini kerana, ia memudahkan saya merancang sesuatu tugas
dari mula hingga ke akhir hanya dalam sehelai kertas khususnya penyalinan nota. Dengan adanya alat berfikir yang ringkas lagi padat ini,ianya
sangat membantu masa saya untuk mengulangkaji pelajaran terutama ketika hendak
menduduki peperiksaan. Kebiasaanya, pelajar pada hari ini sering mengamalkan
pembelajaran pada saat-saat genting dan hanya membelek buku atau bahan rujukan
sekali seimbas sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan. Hal yang demikian
menyebabkan ramai pelajar yang tidak dapat menunjukkan prestasi yang cemerlang
dalam peperiksaan kerana amalan belajar tersebut. Oleh itu, kaedah alat berfikir ini jelas dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan menyalin nota
untuk memudahkan proses mengulangkaji. Alat berfikir ini juga menjimatkan tenaga
kerana tidak perlu membawa buku-buku yang berat ke sana ke mari untuk
mengulangkaji pelajaran namun hanya rujuk pada helaian kertas sahaja. Hal yang
demikian dapat mengelakkan saya daripada bersusah payah memikul beg dengan
buku-buku yang banyak serta berat.
Selain itu, dapat meningkatkan kemahuan belajar. Hal ini kerana, alat berfikir ini berfungsi seiring dengan ciri semulajadi otak iaitu linear, menyeluruh, menghubungkait, membanding dan menganalisis. Kaedah ini mampu menghapuskan rasa sukar untuk belajar serta menambahkan keseronokan dalam proses pembelajaran, mengulangkaji dan menduduki peperiksaan. Kemudahan alat berfikir ini memberi keyakinan kepada saya terhadap keupayaan untuk mempelajari apa sahaja matapelajaran. Kaedah ini juga dapat meningkatkan kreativiti dengan mencetuskan sesuatu idea dan membebaskan pemikiran saya daripada pemikiran linear dan membolehkan idea-idea baru bercambah dengan baik. Ianya juga dapat membantu saya dalam menjana pemikiran yang kritis. Kaedah yang digunakan dalam alat berfikir seperti gambar-gambar, tulisan yang pelbagai warna, penggunaan simbol dan sebagainya mampu menjadikan suatu nota itu menarik dan cantik. Secara umumnya, pelajar ini lebih minat membaca nota yang ringkas dan menarik berbanding pembacaan terus daripada teks yang panjang dan rumit untuk memahami isi kandungan. Hal ini kerana, apabila saya membaca sesuatu bahan bacaan, ia memerlukan saya untuk mencari isi-isi penting untuk memahami sesuatu isi kandungan. Namun, jika adanya alat berfikir ini, saya lebih semangat untuk belajar dan mengetahui isi-isi kandungan yang terdapat pada alat berfikir tersebut.
Di samping itu, alat berfikir dapat
menghubungkan fungsi otak kiri dengan otak kanan bagi meningkatkan daya
ingatan. Hal ini kerana, ianya menggunakan kaedah “mneumonik" yang
memudahkan proses mengingati sesuatu perkara. Kaedah ini memudahkan
saya mengingat fakta setelah minda dipetakan serta menambah keupayaan dan
kapasiti ingatan. Setiap kali maklumat diimbas kembali dari ingatan, alat berfikir membenarkan idea yang terlintas pada fikiran dicatat dengan pantas dalam
keadaan tersusun. Catatan yang dilakukan tidak perlu dalam bentuk ayat penuh. Ia juga berfungsi pantas dalam aktiviti imbas kembali nota,
kandungan bahan bacaan, simbol dan perkara yang telah diulangkaji. Hal ini
kerana, penggunaan kata kunci dalam alat berfikir ini memudahkan saya mengingati
sesuatu nota itu dengan lebih berkesan dan sistematik berbanding dengan mengingati
sesuatu daripada nota atau teks yang panjang.
Akhir sekali,alat berfikir dapat memudahkan aktiviti pembentangan. Hal ini
kerana, ianya mampu membantu seseorang menyediakan topik dan urutan
semasa ingin membuat suatu pembentangan. Kaedah ini bukan sahaja membantu dalam
mengurus idea-idea dengan nyata, malah memberi satu gambaran menyeluruh secara
visual dalam pemikiran tanpa merujuk kepada helaian kertas. Oleh itu, ianya dapat menjadikan proses
pembentangan berjalan dengan lancar tanpa muncul sebarang masalah mendatang
seperti lupa isi-isi penting atau tiada huraian terhadap topik yang
dibincangkan serta mengelakkan diri daripada perasaan gugup ketika melakukan
pembentangan.
Comments
Post a Comment